Laporan daripada web Perkim Kebangsaan(klik utk ke web):
'Allah telah menjanjikan kepada orang-orang di antara kamu yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan bahawa dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa,dan sungguh dia akan meneguhkan bagi mereka dalam agama yang telah dia redhai.Dan dia benar-benar mengubah keadaam mereka setelah berada dalam ketakutan. Mereka tetap menyembahku dengan tidak mempersekutukanku dengan sesuatu pun.Tetapi, barangsiapa tetap kafir setelah janji itu,maka mereka itulah tetap orang-orang yang fasik.'(Surah An-Nur:55)
Berdakwah itu bukan hanya terhad dilakukan di masjid mahupun di majlis-majlis ilmu, tetapi pendekatan itu seharusnya lebih luas dan boleh dilaksanakan terus kepada masyarakat.
Baru-baru ini Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (PAUIAM-Kampus PJ) telah menganjurkan program Jelajah Ukhuwah Perkampungan Orang Asli Kampung Trisu, Kuala Tringkap, Cameron Highland, Pahang Darul Makmur.
Seramai 15 peserta terlibat dalam jelajah ini dengan kerjasama Perkim Kebangsaan. Program pada 7 hingga 9 Mei yang lalu ini berjaya dilaksanakan oleh pendakwah muda tersebut.
Menurut Penyelaras Program Hj. Md. Nor Hashim Mohamed, program tersebut bertujuan untuk merapatkan ukhuwah di antara masyarakat perkampungan orang asli dengan pendakwah-pendakwah supaya mereka tidak segan dengan kunjungan masyarakat luar di lain masa untuk mempelajari ilmu-ilmu keagamaan, khususnya masyarakat kampung yang beragama islam walaupun masih ramai masyarakat yang bukan beragama islam.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim Kebangsaan berkata aktiviti yang menjadi peneraju kejayaan program ini adalah aktiviti anak angkat dan ziarah masyarakat di seluruh kampung tersebut.
“Usaha murni ahli-ahli kelab Perkim PAUIAM ini sangat berkesan kerana melalui lawatan yang dibuat oleh penyelaras dan pimpinan program yang lepas, didapati ramai masyarakat sangat menginginkan kehadiran para pendakwah ini dalam usaha mereka mempelajari ilmu agama Islam,” ujar Md. Nor.Selama 2 hari berkampung di Kuala Tringkap, banyak aktiviti dapat dilakukan dan didedahkan bersama orang kampung. Antaranya ialah beramah mesra atau suai kenal ahli kelab dengan masyarakat rumah ke rumah, aktiviti masak-memasak bersama penduduk kampung dan diselangi dengan permainan seperti batu seremban, ’dart’, catur dan dam.
Program disusuli pada sebelah malamnya dengan sesi berkongsi pengalaman oleh ahli-ahli kelab dan masyarakat selepas menunaikan solat dan mendengar tazkirah daripada ahli kelab itu sendiri yang diketuai oleh Muhammad Marzuqi pelajar jurusan Seni Bina PAUIAM.
Daripada perkongsian itu,mereka menceritakan asal usul nama kampung dan masalah-masalah yang sering dihadapi oleh mereka. Mereka berkata kebanyakan penduduk kampung ini mendapat pendidikan awal daripada Sekolah Kebangsaan Terisu di Kampung Pos Trisu dan mereka terpaksa menyewa van untuk ke sana. Kekangan ini timbul disebabkan kampung ini terletak jauh di pedalaman dan keadaan jalan yang tidak sempurna.
Begitu juga dengan pendidikan agama yang diterima agak tidak konsisten dan berterusan dek kerana masalah pengangkutan dan tempat tinggal yang dialami oleh guru agama yang lebih selesa tinggal di Tanah Rata walaupun ada beberapa rumah disediakan di sekitar sekolah.
Sementara itu, mereka tidak lepaskan peluang untuk melawat kebun-kebun tanaman orang kampung yang diterajui oleh Tok Batin. Hal ini kerana, berkebun adalah sumber utama pendapatan orang kampung. Kami dibawa melawat kebun sayur-sayuran seperti tomato, sawi, jagung, kacang panjang, lada dan lain-lain serta diberi pendedahan dan tunjuk ajar cara dan kaedah penjagaan tanaman dengan betul.
Selain itu, peserta juga berkesempatan menghadiri jamuan makan malam bersempena meraikan Hari Ibu pada 9 Mei bagi mengenang jasa dan pengorbanan seorang ibu yang telah mengandungkan, menyusukan, menyuapkan makan dan minum, mendodoi dan menidurkan, mendidik serta membesarkan hingga dewasa.
Destinasi terakhir, peserta di bawa melawat dan ziarah ke Kampung Trimau dan Kampung Pos Trisu yang menepatkan sekolah rendah bagi anak-anak di situ dengan menaiki trak.
Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka disampaikan oleh Hj. Md. Nor Hashim Mohamed dan wakil ahli kelab Nurul Najihah Ismail dan Maziah Mat Abdul Ghani.
Majlis diserikan lagi dengan berselawat dan bersalam-salaman antara peserta dan masyarakat kampung tanda berakhirnya program tersebut sehingga ada di antara mereka yang menitiskan air mata tanda kasih dan rindu untuk berpisah.
Penerangan tanaman sayur-sayuran di kebun salah seorang penduduk kampung orang asli
Peserta di bawa ziarah dan melawat ke perkampungan berhampiran dengan menaiki trak.
Aktiviti bermain dam oleh kanak-kanak kampung.
Peserta dan masyarakat kampung bergambar kenang-kenangan di akhir program.
0 perkongsian